Gelongsor terpanjang bawa ‘penyakit’

GAMBAR menunjukkan pengunjung menaiki gelongsor yang baru dibuka di Estepona, Sepanyol. FOTO Agensi

MADRID: Sebuah gelongsor yang dianggap terpanjang di Sepanyol yang menghubungkan dua jalan terpaksa ditutup selepas sehari dibuka apabila ramai pengunjung cedera menggunakannya.

Mail Online melaporkan, gelongsor sepanjang 38 meter yang terletak di Estepona, bandar pelancongan di Costa del Sol itu direka untuk memendekkan perjalanan antara dua jalan dengan penjimatan berjalan kaki selama 10 minit.

Ia dipercayai gelongsor terpanjang di Sepanyol dan membuat kecerunan kira-kira 34 darjah.

Bagaimanapun, ramai pengunjung yang menggunakan gelongsor itu menggelongsor dengan laju menyebabkan mereka mengalami kecederaan.

Gelongsor itu dibuka pada Khamis lalu dan video segera muncul di media sosial menunjukkan pengunjung dari segenap usia tercampak ketika melepasi hujungnya.

Selepas ramai pengunjung mengadu cedera, pihak berkuasa tempatan mengarahkan tarikan terbaru itu ditutup sementara syarikat swasta yang memasang gelongsor itu menjalankan pemeriksaan keselamatan.

“Gelongsor Estepona adalah sesuatu yang tidak berguna. Saya menaikinya dan badan saya cedera.

“Saya tercampak hampir dua meter dan polis di situ hanya ketawa,” kata seorang wanita di Twitter.

Wanita itu kemudiannya berkongsi gambar tangannya yang cedera dan memberitahu, dia mengalami kecederaan serius di punggung.

Gelongsor itu dianggarkan berharga 28,000 Euro (RM130,972) dan dipasang oleh sebuah syarikat swasta yang membangunkan kawasan berkenaan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *