Bella bersedia hidup tanpa Aliff

BELLA nekad teruskan hidup bersama anaknya, Mohamad Ayden Adrean, tanpa Aliff. Foto IG Bella Astillah

KUALA LUMPUR: Isteri Aliff Aziz, Bella Astillah menyifatkan kemelut rumah tangga mereka memberi kesan mendalam kepada fizikal dan mentalnya, membuatkan dia bersedia untuk teruskan hidup sendiri.

Bella dalam satu hantaran menerusi Instagram berkata, tidak mudah untuk dia mengambil keputusan itu, namun berharap semua pihak menghormati dan memberinya ruang melalui situasi mencabar itu.

“Saya sudah membuat keputusan untuk teruskan hidup tanpa Aliff. Sekalipun saya ingin memperbaiki, semua itu dilakukan demi anak saya,” katanya.

Menerusi hantaran yang sama, Bella turut memohon orang ramai supaya berhenti menghantar mesej peribadi atau menghubunginya untuk bertanya mengenai rumah tangganya.

Kakak kepada penyanyi, Didi Astillah itu bagaimanapun, berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberikan pandangan mereka terhadap isu perkahwinannya.

“Ia bukan perkara yang mudah untuk dilalui, tetapi saya tahu ada yang berniat baik dan ada juga berniat buruk apabila menganggap saya sebagai manusia paling bodoh apabila terus mempertahankan perkahwinan yang sudah hancur.

“Saya turut memohon orang ramai berhenti menghantar mesej peribadi dan menghubungi saya untuk terus bercakap serta membuat spekulasi mengenai isu ini.

“Saya akan meneruskan kehidupan ini dengan askar kecil saya (anak). Terima kasih atas sokongan yang diberikan terutama keluarga saya,” katanya.

Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu kembali hangat apabila didakwa curang buat kali ketiga selepas gambar miripnya berswafoto sambil tidak berbaju bersama seorang gadis berpakaian seksi tular, hari ini.

Selain gambar, turut tersebar satu rakaman video live Instagram memaparkannya bersama gadis sama dikenali sebagai Nismel itu.

Difahamkan, gambar yang dipercayai dirakamkan Nismel itu disebarkan rakan baiknya yang dikenali sebagai Manja ekoran perselisihan faham mengenai hutang.

Susulan perkongsian panas itu, ruangan komen di Instagram @aliffaziz91 menjadi sasaran netizen apabila rata-rata menempelak perbuatannya mengulangi kesilapan yang sama.

Terdahulu, Aliff terpalit kontroversi pada Julai 2017 dengan adik Anzalna Nasir, Afifah. Bagaimanapun, Bella memaafkan perbuatan Aliff hingga kejadian membabitkan pelakon baharu, Oktovia Manrose, sekitar Februari lalu.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang putera, Mohamad Ayden Adrean, yang kini berusia dua tahun. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *