Anggota SB hadir acara warisan bukan isu jika perkenalkan diri – Junz Wong


Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong.

KOTA KINABALU, 14 Mei –  Kehadiran anggota Cawangan Khas (SB) dalam acara Parti Warisan Sabah atau acara kerajaan negeri itu  tidak menjadi isu sekiranya  mereka memperkenalkan diri, kata Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong.

Menjelaskan kekeliruan tentang dakwaan pegawai SB dihalang daripada menghadiri sidang media parti atau acara kerajaan negeri, beliau berkata tiada halangan dikenakan dengan syarat mereka memperkenalkan diri.

“Kita tidak boleh membenarkan orang yang mengaku sebagai wartawan hadir dalam sesuatu acara. Ini akan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong berkata mereka harus memperkenalkan diri kepada penganjur majlis sama ada anggota polis atau wartawan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri  itu berkata pernah berlaku kejadian di mana individu yang tidak dikenali  menyamar sebagai wartwawan menghadiri sidang akhbar.

“Atas sebab ini, sungguhpun mereka pegawai polis, adalah lebih baik sekiranya mereka memperkenalkan diri daripada berlakon seolah-olah mereka anggota media,” katanya.

Wong menafikan dakwaan bahawa pegawai SB memang  sentiasa dihalang daripada menghadiri sidang akhbar oleh pemimpin Warisan kerana sepanjang pengetahuan beliau perkara itu hanya berlaku pada satu atau dua acara.

Dalam pada itu katanya semua pihak termasuk anggota SB dialu-alukan menghadiri acara kerajaan negeri dan Warisan.

Beliau berkata sidang akhbar merupakan acara spesifik anjuran kerajaan dan parti dari masa kesemasa sebagai pemberitahuan kepada rakyat  tentang perancangan kerajaan dan sebagainya.

— BERNAMA