Remaja dibakar tolak pinangan

MANGSA melecur teruk pada muka, badan dan lengannya. FOTO: Ageni

ISLAMABAD: Seorang remaja berusia 16 tahun cuba dibakar hidup-hidup hanya kerana dia menolak pinangan seorang lelaki, dalam kejadian di daerah Muzzafargarh, Pakistan, beberapa hari lalu.

Daily Mail melaporkan, mangsa dipercayai diserang pada awal pagi Khamis lalu apabila suspek yang sudah ditahan itu mencurah minyak dan menyalakan api pada mangsa.

Bagaimanapun mangsa bernasib baik apabila dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital daerah Muzzafargarh untuk rawatan.

Ibu mangsa yang membuat laporan polis berkata, dia menyedari kejadian itu ketika terdengar jeritan kuat anaknya pada jam 1.30 pagi sebelum ternampak kelibat dua lelaki yang melarikan diri selepas melakukan perbuatan itu.

Dia yang panik kemudian mendapatkan pertolongan ahli keluarga lain untuk memadam kebakaran.

Ibu mangsa mendakwa, suspek dan rakannya ingin membunuh anaknya kerana menolak pinangan yang diaturkan oleh ibu bapa pihak lelaki.

Sementara itu, polis berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa melecur teruk pada muka, badan dan lengannya.

Siasatan lanjut polis turut menemui dompet, wang serta nota yang tertulis dua nombor telefon di lokasi kejadian. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *