DAP Hadiahkan Kemenangan Kepada KM, Faktor Sokongan Pengundi Islam

Lim Guan Eng, bersama pemenang, Vivian Wong dan ibunya, Datin Florence Wong pada sidang media Sabtu malam. Guan Eng, kiri, memuji Shafie Apdal yang bekerja keras membantu sepanjang kempen berjalan.

SANDAKAN: DAP menghadiahkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan kepada kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah yang bekerja keras membantu sepanjang kempen berjalan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kemenangan tersebut membuktikan rakyat Sabah bukan sahaja menyokong DAP tetapi khasnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Menurut beliau, dengan sokongan Mohd. Shafie, DAP turut menang di pusat daerah mengundi Pulau Berhala dan Kampung Sim-Sim yang sebelum ini kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri, beliau adalah wakil DAP, Pakatan Harapan (PH) khususnya Warisan dalam PRK.

“Kemenangan ini bukan semata-mata kemenangan DAP tetapi juga PH dan Warisan khususnya Ketua Menteri kerana buat pertama kali DAP menang di semua peti undi kubu kuat pembangkang,” katanya dalam sidang akhbar selepas calon DAP, Vivian Wong diumumkan pemenang Sabtu malam.

Ketua Menteri Sabah dapat memujuk pengundi Islam di Sandakan supaya menyokong calon DAP dalam pilihan raya kecil.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, kemenangan dengan majoriti besar itu adalah tsunami sokongan rakyat kepada kerajaan yang lebih besar berbanding semasa pilihan raya umum 2018.

Beliau sehubungan itu mengakui DAP mempunyai tanggungjawab besar untuk membimbing Vivian agar dapat bekerja keras membangunkan Sandakan seperti yang telah dijanjikan.

Katanya, sokongan pengundi akan dibalas dengan khidmat terbaik kepada rakyat Sandakan.

“Vivian kini mempunyai tugas berat, kita berikan dia rehat dulu, esok pergi ziarah kubur bapa dia kemudian jumpa rakyat untuk sampaikan ucapan terima kasih.

“Sudah tentu ada kerja berat menangi tetapi berikan dia masa, apa-apa pandangan yang ada untuk disyorkan kepada kerajaan saya harap dibincangkan bersama semua pimpinan di sini dulu,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *