PBS hormati keputusan pengundi

SANDAKAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) menghormati keputusan pengundi yang memilih calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Shir Yee, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata berikutan keputusan, itu beliau berharap DAP akan menunaikan semua janji yang dibuat kepada rakyat Sandakan.

“PBS dari awal lagi meletakkan diri sebagai parti politik bawahan berpandukan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan PRK Parlimen Sandakan yang menyaksikan calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin tewas dengan majoriti 11,521 undi.

Thau Lin hanya mendapat 4,491 undi, jauh ketinggalan berbanding 16,012 undi yang diperoleh Shir Yee manakala tiga lagi calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Hamzah Abdullah dan Sulaiman Abdul Samat, masing-masing hanya mendapat 178 undi, 788 undi dan 126 undi.

Beliau berkata, PBS membangkitkan beberapa isu kritikal dan penting kepada pengundi Parlimen Sandakan untuk diambil kira dan dijadikan penilaian pada PRK berkenaan.

Walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan PRK itu, Maximus berkata ia menunjukkan bahawa PBS diakui sebagai parti yang utama.

Katanya, PBS akan meneruskan perjuangan politiknya untuk menyumbang kepada pembangunan nasional melalui proses demokrasi.

“Kita akan terus wujud dalam perlumbaan keadilan, mempertahan perlembagaan dan perlindungan hak rakyat Sabah serta Malaysia.

“Kita berterima kasih kepada rakyat Sandakan yang mengundi calon PBS dan penghargaan kepada rakan pembangkang yang berkongsi perjuangan serta membantu PBS dalam PRK ini.

“PBS meletakkan persaingan yang baik tetapi pada akhirnya kita tidak dapat menghalang kemungkinan yang kita hadapi,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *