‘Kemenangan Vivian Adalah Kemenangan Rakyat Dan Kerajaan Pimpinan WARISAN’

Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat serta pengiktirafan terhadap Kerajaan pimpinan Warisan – Shafie 

OSANDAKAN: Kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) melahirkan ucapan tahniah atas kemenangan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Vivian Wong Shir Yee dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi, beliau yakin Vivian memperolehi majoriti yang lebih besar.

Dengan itu, beliau ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih terhadap pengundi yang yakin dengan kemampuan Vivian. Ia membuktikan pengundi Sandakan sekali lagi memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan pimpinan Warisan.

“Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat serta pengiktirafan terhadap Kerajaan pimpinan Warisan.

“Kemenangan ini juga memberi indikasi yang jelas bahawa kehadiran Umno tidak lagi memberi kesan terhadap pengundi Muslim pada PRK kali ini, apabila ramai yang menyokong calon DAP.

“Saya menjangka Vivian akan meneruskan legasi ayahnya, mendiang Datuk Stephen Wong yang merupakan seorang Ahli Parlimen yang sangat berdedikasi. Saya yakin Vivian akan mengikut jejak langkah ayahnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kerajaan akan terus mengotakan janji yang telah dibuat.

Beliau berkata, Sandakan akan mempunyai masa depan yang lebih baik apabila bermulanya projek memperluaskan landasan Lapangan Terbang Sandakan dalam masa terdekat ini serta langkah menjadikan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) sebagai hab kilang perabot Sabah.

Mohd Shafie berkata, usaha sebegitu akan membolehkan industri pelancongan terus berkembang dan ribuan peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada penduduk setempat.

“Saya akan membimbing Vivian bagi membolehkan dia mengalas tanggungjawabnya sebagai ahli politik yang muda.

“Saya juga memberi jaminan kepada penduduk Sandakan bahawa saya akan kembali ke daerah ini dengan lebih kerap dan saya akan memastikan projek pembangunan dapat dimulakan bagi menghidupkan kembali ekonomi di bandar yang dahulunya kaya dengan kayu balak ini,” ujarnya.

Beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang membolehkan Vivian menang.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dan ahli Warisan, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bekerja keras dalam berkempen bagi memastikan kerusi Parlimen Sandakan kekal milik DAP. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *