Dakwaan beli undi antara 12 laporan polis diterima

SANDAKAN: Polis menerima 12 laporan dibuat calon dan wakil parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, termasuk satu berhubung kesalahan membeli undi, tengah malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata laporan itu diterima pada jam 12.06 tengah malam yang mendakwa ada pihak tertentu memberi wang kepada pengundi.

Selain itu, beliau berkata, polis sudah membuka enam kertas siasatan berhubung kesalahan khianat dan merosakkan poster mengikut Seksyen 426 dan 427 Kanun Keseksaan, membuat fitnah yang boleh menyebabkan aib (Seksyen 504 Kanun Keseksaan), melakukan ceramah tanpa permit dan dorongan untuk membeli undi masing-masing mengikut Seksyen 24 (b) serta Seksyen 10 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Sejak pagi tadi, keadaan (proses pengundian) berjalan lancar, keselamatan terjamin dan tiada berlaku sebarang insiden tidak diingini.

“Diharapkan proses pengundian terus berjalan lancar dan kita juga akan melihat ketika penjumlahan undi nanti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini, hari ini.

Omar turut memberi jaminan keadaan keselamatan di bandar ini terkawal, meliputi sempadan perairan yang membabitkan penugasan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pulau Langkayan, Pulau Selingan serta Pulau Nunuyan Laut.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai isu keselamatan kerana jumlah kekuatan pegawai dan anggota adalah lebih daripada mencukupi.

“Polis Kontinjen Sabah sudah menyediakan kekuatan membabitkan sejumlah 874 orang untuk semua jenis penugasan bagi memastikan keseluruhan proses pilihan raya berjalan lancar.

“Kita juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang berita atau khabar angin yang boleh mengganggu kelancaran proses pilihan raya,” katanya.

Omar berkata, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas pihak cuba menimbulkan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam sepanjang proses itu berlangsung.

259