Guru rugi RM10,000 dipercayai ditipu Macau Scam

KOTA KINABALU: Seorang guru wanita kerugian RM10,000 dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa berhutang dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata terdahulu mangsa berusia 43 tahun dikatakan menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Ooi Ken Kew kononnya daripada JKDM.

“Suspek mendakwa ada sebuah syarikat didaftarkan atas nama wanita itu pada 17 Jun 2017 yang beralamat di Ipoh, Perak, dan mangsa berhutang sebanyak RM45,700, termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Mangsa kemudian ‘dinasihatkan’ supaya berhubung dengan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan menyambungkan panggilan terus kepada lelaki kononnya bernama Sarjan Tan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seterusnya, beliau berkata, mangsa diminta memberi nombor telefon kononnya untuk tujuan penghantaran surat perintah tangkapan dan pembekuan aset.

“Suspek juga didakwa meminta mangsa membuat pindahan wang ke dalam akaun diberikan, dan berjanji wang itu akan dipulangkan semula kononnya selepas selesai membuat semakan pada akaun mangsa.

“Mangsa dikatakan membuat pindahan wang RM10,000 tetapi mula mengesyaki ditipu selepas semakan kemudian mendapati nombor akaun terbabit disenaraikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai digunakan untuk penipuan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa segera membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *