PBS mampu rampas kerusi Sandakan

Linda bersama serta pemimpin dan penduduk kampung menunjukkan isyarat ‘lima jari’ yang menandakan sokongan kepada calon nombor lima.

SANDAKAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin mampu merampas kerusi Parlimen Sandakan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini berikutan sokongan pengundi bumiputera dan kaum Tionghua yang semakin meningkat.

Ahli Majlis Tertinggi PBS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labuk Abdul Rahman Kangkawang berkata ia berdasarkan reaksi kedua-dua kumpulan pengundi berkenaan terhadap setiap aktiviti turun padang dilaksanakan jentera pilihan raya PBS.

ABDUL Rahman bersama Linda serta pemimpin dan penduduk kampung menunjukkan isyarat ‘lima jari’ yang menandakan sokongan kepada calon nombor lima.

Katanya, ia membawa perkembangan baik terhadap usaha PBS melalui calonnya, Datuk Linda Tsen Thau Lin, bagi merebut kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang wakil rakyat DAP, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

“Berdasarkan maklum balas daripada pengundi Tionghua, mereka kecewa terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tiada sebarang pembangunan dan perubahan fizikal di kawasan Parlimen sejak mengambil alih kerajaan.

“Pengundi bumiputera juga hampa kerana kerajaan tidak tunaikan janji dan pelbagai bantuan, yang mana bantuan yang sebelum ini diterima sudah tiada selepas kerajaan PH mengambil alih,” katanya selepas program ‘walkabout’ di Sim-Sim bersama Linda.

Beliau berkata sokongan kepada barisan pembangkang hari ini semakin baik dan menjadi platform kepada rakyat untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin PH.

Linda bersama serta pemimpin dan penduduk kampung menunjukkan isyarat ‘lima jari’ yang menandakan sokongan kepada calon nombor lima.

“Rakyat hanya mampu menyuarakan isi hati melalui media sosial, perbincangan kedai kopi dan sebagainya namun apabila berlaku PRK maka seluruh rakyat memberi ‘signal’ dan akhirnya suara rakyat menolak PH pada tiga PRK baru-baru ini.

“Rakyat ditekan… banyak insentif kena potong seperti BR1M, bantuan nelayan, insentif sawah dan penanam sayur ditarik balik… alasannya kita terpaksa berjimat,” katanya.

Abdul Rahman berkata kerajaan hari ini hanya tahu meletakkan kesemua kesalahan negara dan kegagalan mereka mentadbir kepada kerajaan Barisan Nasional dahulu tetapi tidak ada perancangan atau pengumuman yang mereka buat untuk mensejahterakan rakyat.

Pada PRK Parlimen Sandakan ini, beliau berkata PBS akan bekerja bersama enam parti pembangkang lain seperti Parti Sollidariti Tanah Airku (Star), Umno, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Usno dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) sebagai satu kumpulan dalam usaha memenangi semula hati pengundi di kawasan terbabit.

“Kita tidak bekerja berdasarkan parti, sebaliknya bergabung dalam satu pasukan untuk mendekati pengundi dan kita percaya kerja keras selama ini akan memberi kemenangan kepada calon PBS, Datuk Linda Tsen,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *