Anwar Ibrahim Janji Tolong Selesai Masalah Keselamatan Di Sandakan

Anwar berjanji akan membantu Sandakan ketika berucap dalam ceramah di Taman Prima Selasa malam.

OSANDAKAN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membantu kerajaan negeri menyelesaikan masalah keselamatan yang berlaku di Sandakan demi meningkatkan kembali ekonomi daerah itu.

Anwar berkata, beliau sendiri akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan agar isu tersebut dapat diselesaikan dengan cepat.

“Saya akan jumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal saya tidak akan biarkan beliau sendiri selesaikan masalah.

Ribuan penduduk Sandakan hadir mendengar ceramah yang diadakan di Taman Prima.

“Saya juga akan jumpa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu, saya mahu mereka percepatkan sebab kita mahu ekonomi Sandakan maju,” katanya.

Menurut Anwar, perdagangan barter di Sandakan perlu diteruskan demi kelangsungan perniagaan yang semakin lembab di bandar Sandakan.

Sementara itu katanya, kerajaan PH baru memerintah setahun, justeru tempoh tersebut masih tidak cukup untuk menyelesaikan masalah negara terutama beban hutang yang banyak.

“Masalah yang ada terlalu banyak kita juga tidak tahu sebelum ini jadi setiap hari Perdana Menteri cuba selesaikan masalah itu.

“Rakyat perlu terus sokong kerajaan kerana kita akan selesaikan masalah ini, apa yang sudah dijanjikan pasti akan ditunaikan,” katanya. – BorneoToday

443