Sabah komited tangani isu setinggan

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

SANDAKAN: Kerajaan Sabah komited menangani pemasalahan setinggan di negeri ini, khususnya di Sandakan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam menangani isu berkenaan, namun ia tentunya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Kita sedar dan tahu ia tidak akan berubah dalam tempoh singkat… bukan sekelip mata, terus ada perubahan.

“Penting bagi kita untuk memastikan ada perubahan dalam kehidupan rakyat, khususnya di Sandakan. Ini tujuan dan matlamat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Taman Mesra, di sini malam tadi.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, pembangunan yang dibuat tidak akan bermakna sekiranya rakyat masih berada pada tahap kemiskinan.

Justeru, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menegaskan kerajaan negeri di bawah kepemimpinannya, yang baru saja memerintah Sabah perlu diberi ruang untuk membawa perubahan.

Sementara itu, menjelang hari pengundian pada Sabtu ini, Mohd Shafie yakin pengundi tidak salah memilih calon yang terbaik untuk membawa perubahan kepada Sandakan.

Beliau yakin calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee adalah pilihan terbaik dalam meneruskan legasi kepemimpinan mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *