Anwar yakin Vivian menang kerana sokongan positif

DATUK Seri Anwar Ibrahim, Vivian Wong Shir Yee dan Datuk Christina Liew hadir pada Program Walkabout di Bazar Ramadan Bandar Sandakan, hari ini. – PKR SABAH

SANDAKAN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakin sokongan positif yang diberikan pengundi di kawasan Cina dan Bumiputera Islam membolehkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei ini.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada semangat positif dan sambutan baik yang diberikan berdasarkan pertemuan dengan calon serta pemimpin daripada DAP, PKR dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

DATUK Seri Anwar Ibrahim dan Vivian Wong Shir Yee hadir pada Program Walkabout di Bazar Ramadan Bandar Sandakan, hari ini. – PKR SABAH

Katanya, pengundi juga dilihat mengenali calon diketengahkan DAP, Vivian Wong Shir Yee dan berharap masyarakat memberi sokongan padu untuk memastikan kemenangan calon.

“Saya lihat sambutan baik, orang kenal calon, itu yang penting. Sesetengah kawasan, selepas seminggu (berkempen), dia (pengundi) tak kenal calon.

“Di sini, saya tengok semua kenal Vivian, dia popular. Saya harap mudah-mudahan mereka akan beri sokongan yang padu,” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout di Bazar Ramadan Bandar Sandakan di sini, hari ini.

DATUK Seri Anwar Ibrahim, Vivian Wong Shir Yee dan Datuk Christina Liew hadir pada Program Walkabout di Bazar Ramadan Bandar Sandakan, hari ini. – PKR SABAH

Anwar dan Shir Yee serta Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertemu dan beramah mesra dengan peniaga serta pengundi di bazar berkenaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata beliau juga percaya Shir Yee mampu menggalas tanggungjawab jika memenangi pilihan raya itu berdasarkan kelayakan, tenaga dan sebagai orang muda.

“Nasihat saya cuma dia (Shir Yee) perlu jumpa setiap pengundi, bercakap dengan mereka, fahami aspirasi mereka dan berjanji akan membawa isu yang menjejaskan penduduk setempat ke Parlimen, kerajaan negeri dan Pusat,” katanya.

Ditanya mengenai langkah kerajaan untuk menangani isu pendatang asing tanpa izin di negeri ini, Anwar berkata dasar kerajaan adalah jelas iaitu hanya mengiktiraf warganegara yang sah dan mereka yang sudah lama berada di Sabah dengan dokumen lengkap.

Bagaimanapun, Anwar menolak apabila ditanya mengenai jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di negeri ini kerana beliau bukan berada dalam jawatankuasa terbabit dan bukan menteri.

Sementara itu, ditanya mengenai isu berkaitan perselisihan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan istana Johor, Anwar percaya perkara itu boleh diredakan.

“Ia bukan isu peribadi. Perdana Menteri mahu memastikan semangat perlembagaan itu dipelihara dan kita bersamanya dalam perkara ini” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *