41 dikhuatiri maut pesawat Russia mendarat cemas

Pesawat Sukhoi Superjet-100 milik Aeroflot terbakar selepas mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow, Russia. Foto Reuters

MOSCOW: Seramai 41 penumpang, termasuk sekurang-kurangnya dua kanak-kanak dipercayai maut, apabila pesawat penumpang milik Russia membuat pendaratan cemas di lapangan terbang paling sibuk di sini, sebelum terbakar.

Imej rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pesawat Sukhoi Superjet 100 milik Aeroflot, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo dan kelihatan api serta asap tebal dari badan kapal terbang itu.

Rakaman berkenaan juga menunjukkan penumpang melompat turun menerusi pelampung kecemasan di bahagian depan, sebelum berlari menjauhi pesawat yang sedang terbakar, manakala asap hitam memenuhi ruang udara.

“Terdapat 78 penumpang, termasuk anak kapal di dalam pesawat berkenaan.

“Menurut maklumat terkini yang diperoleh, 37 penumpang disahkan selamat,” kata jawatankuasa siasatan dalam satu kenyataan.

Katanya, pesawat itu dipercayai dalam perjalanan ke Murmansk, iaitu bandar di barat laut Russia.

Terdahulu, menteri kesihatan wilayah Moscow, Dmitry Matveyev, mengesahkan 11 penumpang pesawat itu cedera.

“Tiga daripada mereka sedang dirawat di hospital dan tidak mengalami kecederaan yang serius,” katanya.

Sementara itu, pasukan penyiasat enggan mengulas lanjut mengenai punca kemalangan itu.

“Presiden Russia, Vladimit Putin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” kata jurucakapnya, Dmitry Peskov.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Dmitry Medvedev sudah mengarahkan satu jawatnkuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat insiden terbabit.

Menurut pihak berkuasa, jet yang membawa 73 penumpang, termasuk lima anak kapal dilaporkan baru berlepas dari Sheremetyevo, ketika anak kapal mengeluarkan isyarat kecemasan.

“Pesawat Su-1492 berlepas mengikut jadual, iaitu pada jam 6.02 petang (waktu tempatan).

“Sebaik sahaja berlepas, anak kapal melaporkan wujud masalah dan mengambil keputusan untuk berpatah balik ke lapangan terbang.

“Pada jam 6.30 petang (waktu tempatan), pesawat itu membuat pendaratan cemas,” kata lapangan terbang itu dalam satu kenyataan. – AFP

https://www.youtube.com/watch?v=JxcSV9FJ0_I

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *