ESSCOM akan distruktur semula – Mohamad Sabu

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan distruktur semula bagi meningkatkan lagi keselamatan di pantai timur negeri ini, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang berbincang mengenai keputusan itu, termasuk usaha memperoleh peralatan tambahan bagi memantapkan tugas pasukan keselamatan bawah ESSCOM.

“MKN bersama kerajaan negeri akan melihat tugas yang bakal disusun semula.

“Kementerian Pertahanan mendapat peruntukan tambahan lebih RM200 juta dan akan diagih untuk mempertingkatkan tugas keselamatan oleh ESSCOM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada ceramah umum bagi calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, di sini, malam tadi.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, perintah berkurung yang dilaksanakan di perairan pantai timur Sabah juga akan diteliti dari semasa ke semasa jika perlu diteruskan.

Beliau berkata, keselamatan di timur Sabah terkawal dengan menyaksikan insiden penculikan untuk wang berkurangan sejak kira-kira tiga tahun lalu.

“Kita juga tahu pelancong, terutama dari China, semakin ramai datang ke kawasan timur Sabah seperti Sandakan, Tawau dan Semporna.

“Ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap keselamatan di pantai timur Sabah yang semakin baik,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *