Perang poster, bendera PRK Sandakan hambar

 Replika roket dan bendera DAP menghiasi pemandangan di hadapan pejabat Parlimen Sandakan sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan di Bandar Letat semalam. — Gambar Bernama
PILIHAN RAYA KECIL: Replika roket dan bendera DAP menghiasi pemandangan di hadapan pejabat Parlimen Sandakan sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan di Bandar Letat semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Genap seminggu semalam sejak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula namun ‘perang’ bendera antara calon bertanding kelihatan hambar.

Tinjauan Bernama mendapati tidak banyak bahan kempen seperti poster, gegantung dan bendera yang dipasang.

Hanya sesetengah kawasan sahaja dipenuhi bahan kempen daripada calon ataupun parti yang bertanding.

Di Kampung Sim-Sim tinjauan mendapati hanya bendera dan poster daripada calon DAP, Vivian Wong Shir Yee dan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin yang dipasang.

Di kawasan lain ialah Bandar Letat yang menampilkan poster wajah calon Bebas, Chia Siew Yung.

Penduduk Kampung Sim-Sim Rohani Mohd Ismail, 28, berkata pendekatan calon yang berkempen dari rumah ke rumah mungkin lebih berkesan mendekati pengundi.

“Di sini (Sim-Sim)memang nampak banyak bendera kerana ini kawasan kampung dan semua calon berkempen dalam keadaan yang baik,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ada yang berpendapat banyaknya bendera itu bukan penentu kepada kemenangan kepada setiap calon.

Menurut Abdul Hamid Fattah, 40, undi adalah rahsia bagi setiap individu kerana negara mengamalkan sistem demokrasi.

Beliau berkata siapa pun yang menang dalam PRK bagi Parlimen Sandakan, perkara utama yang perlu disediakan ialah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kita tidak minta duit tetapi hanya sediakan peluang pekerjaan kerana ramai graduan institusi pengajian tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon DAP, PBS dan tiga calon Bebas termasuk bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah dan bekas pembantu tadbir di Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 7 Mei dan mengundi pada 11 Mei ini. — Bernama

843