KOTA KINABALU: Demi mendapat wang untuk belanja makan dan minum, seorang pemuda sanggup menjadi kuli kepada penagih dadah di sekitar Sepanggar.
Malah lelaki berumur 28 tahun itu turut mengaku melepaskan gian menagihnya selain menjadi orang suruhan kepada individu yang membeli syabu selepas ditahan di kediamannya di Taman Bukit Setia, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu Lawrence Galleh berkata lelaki terbabit selepas pihaknya menerima aduan dari orang awam.
“Ketika serbuan dijalankan lelaki terbabit sedang tidur di ruang tamu.
“Pihak AADK menjalankan ujian saringan air kencing di lokasi dan mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday selepas mengetuai Op Cegah Siri 13/2019 di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
Menurut Lawrence, suspek terbabit mengaku menagih dadah dengan hasil daripada upah yang diberikan oleh pembeli dadah di kawasan sekitar Kampung Lokub.

“Seramai empat suspek lelaki berjaya ditahan kerana disyaki penagih dadah.
“Kesemua tangkapan berusia 20 hingga 40 tahun dan positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu,” tambahnya.
Operasi Cegah yang membabitkan seramai lapan anggota AADK itu menumpukan beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. –SabahNewsToday