Pendaki Malaysia meninggal dunia ketika dirawat di Singapura

CHIN Wui Kin gagal tiba di kem berhampiran yang terletak satu kilometer dari puncak gung, mendorong operasi mencari dijalankan. FOTO Agensi

SINGAPURA: Pendaki Malaysia yang berjaya diselamatkan pasukan penyelamat, selepas terkandas selama dua malam di Nepal ketika mendaki Gunung Annapurna, disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Singapura.

Media tempatan Singapura melaporkan, Chin Wui Kin, 48, diterbangkan dari Kathmandu, Nepal hujung minggu lalu iaitu lokasi dia menerima rawatan awal selepas diselamatkan.

Wui Kin yang juga seorang doktor dan berkhidmat dengan sebuah hospital di sini, berjaya sampai ke puncak Gunung Annapurna setinggi 8,100 meter pada 23 April lalu.

Bagaimanapun, dia gagal tiba di kem berhampiran yang terletak satu kilometer dari puncak gunung, mendorong operasi mencari dijalankan.

Pemandu arahnya atau sherpa kemudian memaklumkan kem terbabit mengenai kehilangannya.

“Helikopter penyelamat berjaya mengesan Wui Kin yang melambai tangan ke arah mereka dari kawasan cerun salji setinggi 7,500 meter pada 25 April lalu,” kata penganjur ekspedisi Seven Summit Treks.

Susulan itu, empat sherpa dihantar dari sebuah kem lain yang terletak pada ketinggian 6,500 meter dan selepas empat jam usaha mengesan Wui Kin, mereka menemuinya dalam keadaan separuh sedar. – AFP

198