Bekas timbalan ketua menteri Sabah dijangka sertai WARISAN

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

SANDAKAN: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dipercayai akan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama penyokongnya, hari ini.

Menurut sumber, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat itu akan menyerahkan borang kemasukan parti WARISAN kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu majlis di sini.

Sumber terbabit berkata, Tsu Kiah dijangka akan menyerahkan borang dalam majlis bersama beberapa ratus penyokongnya, dijangka selepas solat Jumaat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bekas naib presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) itu kalah kepada Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung yang mendapat majoriti 5,818 undi.

Minggu lalu, Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau dalam sidang media di Kuala Lumpur, berkata parti itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan kerana ketiadaan calon sesuai.

Lau dipetik sebagai berkata, GERAKAN berhasrat meletakkan Tsu Kiah sebagai calon untuk bertanding di kerusi berkenaan, namun Tsu Kiah membuat keputusan keluar parti. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *