Kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan tidak pernah arah pengeluaran dokumen kepada PATI – Azis

KOTA KINABALU, 2 Mei – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman menegaskan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan pengeluaran atau pemberian dokumen kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.

Sebaliknya beliau berkata mana-mana PATI yang ditangkap akan ditahan seterusnya didakwa dan dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Kerajaan negeri diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) tiada kuasa memberi taraf kewarganegaraan kepada PATI, malah program pendaftaran rakyat tanpa negara akan diselaras sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Program ini pun masih di peringkat cadangan dan belum pun di laksanakan dan jika program ini dilaksanakan, kementerian yang bertanggungjawab ialah Kementerian Dalam Negeri di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu yang disentuh oleh Anggota Dewan Negeri Sulaman Datuk Hajiji Mohd Noor mengenai PATI yang tular di media sosial, mengenai kerajaan negeri Sabah memberi dokumen kepada PATI.

Azis yang juga Ketua Wira Warisan berkata ada kemungkinan Hajiji maksudkan rakyat tanpa negara di Sabah, yakni golongan yang lahir dan membesar di Sabah malah telah pun menjadi generasi ketiga dan keempat yang mana negara Filipina tidak mengiktiraf mereka ini sebagai rakyat Filipina.

Katanya masalah sama turut berlaku di Semenanjung yang diperjuangkan oleh kebanyakkan anggota parlimen  Pakatan Harapan di Parlimen bahawa kerajaan perlu memberikan golongan itu suatu dokumen tertentu agar jumlah mereka dapat diketahui.

Menurutnya Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dengan lantang bersuara supaya kanak-kanak tanpa negara yang ibu bapa mereka yang tidak boleh dikenalpasti, perlu diberikan dokumen supaya mereka boleh bersekolah.

“Namun begitu kita bukan berikan kewarganegaraan cuma suatu dokumen. Cuma berikan dokumen supaya kita ada data dan jumlah mereka yang kerajaan (di bawah kepimpinan) UMNO dahulu gagal menanganinya,” kata Azis.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *