APMM tahan juragan, enam penumpang warga Filipina

Juragan dan enam penumpang bot warga Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas cuba masuk ke daerah ini melalui Selatan Sungai Merah di perairan Felda Sahabat, Lahad Datu. – Foto ihsan APMM

LAHAD DATU: Cubaan seorang juragan dan enam penumpang warga Filipina menyusup masuk ke daerah ini melalui selatan Sungai Merah di perairan Felda Sahabat, di sini, gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), malam tadi.

Mereka yang berusia antara satu hingga 60 tahun ditahan bot peronda APMM pada jam 9 malam selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata hasil pemeriksaan mendapati, terdapat seorang juragan serta enam penumpang di atas bot tanpa sebarang nombor pendaftaran.

“Pemeriksaan terhadap juragan dan penumpang, semuanya adalah warga Filipina dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, siasatan mendapati bot berkenaan cuba menyusup masuk ke daerah ini dari Pulau Sibutu, Filipina.

“Bot itu difahamkan bertolak dari Pulau Sibutu kira-kira jam 6 petang dan berada di laut selama tiga jam sebelum ditahan bot peronda maritim.

“Bot dan semua penumpang yang ditahan dan dibawa ke Pos APMM Felda Sahabat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, APMM akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi APMM Lahad Datu di talian 089-885727 atau talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *