Bung Moktar, Zizie bakal didakwa

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad, akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat ini atas tuduhan rasuah yang membabitkan FELCRA Bhd.

Difahamkan, pasangan itu, yang masing-masing ditahan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dan Putrajaya, jam 10.50 pagi dan 11.15 pagi tadi, disiasat berkaitan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.

Bung Moktar adalah bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad.

Beliau yang dilantik memegang jawatan itu pada 2013, meletak jawatan pada 1 Jun 2018 selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pasangan terbabit ditahan selepas hadir memberi keterangan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah membabitkan FELCRA Bhd.

Bagaimanapun, mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Katanya, Ahli Parlimen daripada BN itu dan isteri akan dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan Seksyen 28(1)(c) akta yang sama.

“SPRM sudah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh pasangan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei (Jumaat),” kata kenyataan itu.

Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 adalah berkaitan menerima suapan untuk melakukan sesuatu berhubung hal ehwal perniagaan atau perniagaan terasnya.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Seksyen 28(1)(c) pula berkaitan bersubahat atau terbabit dalam komplot jenayah dalam melakukan kesalahan mengikut akta itu. Jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman sama yang diperuntukkan untuk kesalahan berkenaan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *