Ahli Parlimen Dari Sabah Dan Isteri Ditahan SPRM?

KOTA KINABALU: Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah dan isterinya difahamkan dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber memberitahu, Ahli Parlimen tersebut dijangka terbang ke Kuala Lumpur malam ini (Rabu) dan akan melapor diri kepada ibu pejabat SPRM esok pagi (Khamis)

Sementara itu, portal berita Malaysiakini melaporkan Ahli Parlimen berkenaan ditahan Rabu pagi bersama isterinya yang merupakan seorang artis.

Menurut Malaysiakini, wakil rakyat berkenaan ditahan berkaitan jawatannya sebagai pengerusi sebuah agensi kerajaan sebelum ini manakala isterinya dikatakan bersubahat.

“Mereka ditahan untuk membantu siasatan dakwaan rasuah bernilai beberapa juta,” kata portal itu yang memetik maklumat sumber.

Wakil rakyat berkenaan dan isterinya difahamkan telah dibebaskan selepas memberi keterangan kepada SPRM.

Malaysiakini turut melaporkan kedua-duanya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Akta SPRM 2009 Jumaat ini.

Berdasarkan rekod, sejak pilihan raya umum 2018, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin adalah satu-satunya wakil rakyat BN Sabah yang tinggal.

Dalam pada itu, Borneo Today cuba mendapatkan pengesahan daripada Bung mengenai laporan tersebut, namun masih belum mendapat jawapan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *