Kerajaan Sabah terus komited martabat perayaan kebudayaan – Mohd Shafie

Foto BorneoToday

PITAS, 1 Mei – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri pimpinannya akan terus komited memartabatkan perayaan kebudayaan bagi memastikan ia terus subur dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Beliau berkata pelbagai perayaan berunsur kebudayaan seperti Pesta Kaamatan yang diwarisi sejak turun temurun perlu terus dipelihara dan disuburkan kerana ia merupakan unsur penyatuan rakyat pelbagai suku kaum dan kepercayaan di Sabah.

“Sememangnya ini menjadi usaha kerajaan negeri untuk memastikan supaya perayaan seumpama ini (Pesta Kaamatan) terus dipelihara kerana menjadi ikatan perpaduan seperti tema Kaamatan pada tahun ini iaitu ‘Kaamatan Wadah Perpaduan Budaya Bangsa’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2019 di sini hari ini yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong, dan Datuk Christina Liew serta Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2019 Datuk Peter Anthony.

Mohd Shafie berkata kepelbagaian agama, suku kaum dan budaya telah menjadi teras kepada kekuatan Malaysia sebagai negara maju dan rakyat hidup bersatu padu dalam keadaan aman dan harmoni.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus menghormati dan sama-sama memelihara perpaduan kaum yang telah sekian lama terbina demi kesinambungan perpaduan negara dan rakyat.

“Sambutan pesta Kaamatan yang diadakan setiap tahun ini merupakan satu langkah dan amalan yang perlu diteruskan agar ia dapat diwarisi sepanjang zaman,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *