Vivian tidak sangka niat baik bersihkan kubur tular

Zamri (baju merah) tampil mempertahankan tindakan Vivian membersihkan kubur bondanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim.

SANDAKAN: Calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan Vivian Wong Shir Yee tidak menyangka niat baiknya membersihkan tanah perkuburan masyarakat Islam Kampung Sim-Sim pada pagi Ahad menjadi tular sehingga mencetuskan pertelingkahan segelintir masyarakat Islam.

Beliau berkata niatnya membersihkan tanah perkuburan itu untuk memastikan kawasan tanah perkuburan berkenaan dalam keadaan bersih selain menjaga kesihatan masyarakat sekitar kawasan itu.

“Niat saya juga adalah membantu masyarakat seperti yang pernah dilakukan oleh mendiang ayah saya sebelum ini,” katanya kepada media selepas gambarnya membersihkan kubur menjadi tular di media sosial.

Vivian menjelaskan mendiang ayahnya pernah bersama masyarakat Islam membersihkan tanah perkuburan itu pada 14 Jun 2015 dan 5 Ogos 2018.

Beliau berkata sudah menjadi amalan pemimpin DAP menyertai program membersihkan tanah perkuburan berkenaan.

“Pada mada akan datang, saya akan lebih berwaspada agar tidak mencetuskan pertelingkahan. Hasrat kami adalah untuk menjaga kebersihan serta kesihatan penduduk,” jelasnya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Sim-Sim, Zamri Othman mempersoalkan tindakan orang ramai yang mengutuk usaha murni Vivian membersihkan kubur kedua ibu bapanya.

Beliau tampil mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan Vivian, yang dianggapnya sebagai adik bongsu dalam keluarga mereka.

Zamri yang merupakan anak kepada pasangan Allahyarham Othman Awang Besar dan Salamah Abdul Rasid berkata keluarganya mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga mendiang Stephen Wong.

“Kami amat berbesar hati apabila Vivian hadir dalam program gotong-royong itu dan beliau sendiri telah membersihkan kubur ibu saya,” katanya.

Sehubungan itu, Zamri yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberitahu dalam Islam tidak boleh menghalang sesiapa datang menziarahi kubur kecuali kalau seseorang mahu membuat benda tidak senonoh.

Beliau meminta sesetengah pihak berhentilah berkata nista serta tidak perlu mempolitikkan isu berkenaan.

Malahan, katanya, mereka sekeluarga telah menganggap Vivian sebagai adik bongsu dan keluarganya akan mempastikan beliau menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei nanti.

Turut hadir ialah Pemangku Pengerusi DAP Sabah merangkap Menteri Belia dan Sukan Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Perhubungan Parti Amanah Negeri Sabah Haris Alimuddin serta beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pusat dan negeri. – Utusan Borneo

339