Penyokong calon Bebas dikesan guna logo AMANAH

KETUA Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud membuat laporan polis berikutan tindakan sekumpulan lelaki memakai baju dengan logo parti itu sambil mengedarkan risalah berkaitan calon Bebas, Hamzah Abdullah. – Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah membuat laporan polis berikutan tindakan sekumpulan lelaki memakai baju dengan logo parti itu sambil mengedarkan risalah berkaitan calon Bebas, Hamzah Abdullah.

Laporan polis dibuat Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud di Balai Polis Bandar Sandakan, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Berdasarkan laporan polis itu, Khairuddin mendakwa kumpulannya ternampak antara empat hingga lima lelaki tidak dikenali menggunakan baju dengan logo AMANAH ketika berkempen di Pasar Kim Fung, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Hamzah yang juga bekas pengasas AMANAH Sabah adalah antara tiga calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

SEKUMPULAN lelaki memakai baju dengan logo parti AMANAH mengedarkan risalah berkaitan calon Bebas, Hamzah Abdullah di Pasar Kim Fung. – Foto ihsan AMANAH Sabah

Pada sidang medianya, Khairuddin berkata, Hamzah sudah meletak jawatan sebagai pengerusi AMANAH Sabah tahun lalu dan AMANAH Sabah sudah membuat pemilihan pengerusi parti yang baharu.

Sebelum penamaan calon juga, katanya, Hamzah menghantar pesanan ringkas kepada Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Mohd Tahir untuk memaklumkan beliau sudah keluar parti dan masuk bertanding dalam PRK itu sebagai calon Bebas.

“Kami kesal apabila (beliau) gunakan ahli AMANAH yang kami tidak kenal tetapi memakai baju berlogo parti dan edar risalah beliau (Hamzah).

“Kami lihat ia satu provokasi yang ditimbulkan calon Bebas, bukan saja kepada parti AMANAH tetapi kepada calon DAP,” katanya.

Khairuddin berkata, AMANAH Sabah juga sudah menyatakan pendirian jelas iaitu cuma menyokong calon DAP daripada Pakatan Harapan (PH) untuk PRK Parlimen Sandakan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *