Ketua pemuda parti Amanah Sabah buat laporan polis terhadap calon bebas


KETUA Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud membuat laporan polis berikutan tindakan sekumpulan lelaki memakai baju dengan logo parti itu sambil mengedarkan risalah berkaitan calon Bebas, Hamzah Abdullah. – Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN, 30 April – Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Sabah membuat laporan polis terhadap calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Hamzah Abdullah yang berkempen menggunakan logo parti Amanah.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Pemuda Amanah Sabah Khairuddin Daud selepas melihat beberapa individu berkempen mengedarkan risalah calon Bebas itu memakai baju yang mempunyai logo parti Amanah di Pasar Kim Fung Batu 4 di sini pada pukul 8.30 pagi ini.

“Saya telah bertemu dengan calon parti Bebas itu dan menegur supaya tidak menggunakan baju yang mempunyai logo parti Amanah,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bandar, di sini hari ini.

Beliau berkata laporan polis itu dibuat agar tindakan sewajarnya akan diambil oleh pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu.

Hamzah yang bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan telah meletak jawatan sebagai Pengerusi parti Amanah Sabah sehari sebelum penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu lepas.

Tempoh berkempen bermula secara rasmi sehingga 10 Mei pada pukul 11.59 sebelum hari pengundian pada 11 Mei depan.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lepas.

— BERNAMA

163