Jangan Kebas Ahli Parti Lain : Madius Tangau

Tangau (kanan) memberikan cenderakenangan kepada Lucas yang tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara baru-baru ini.

OKOTA KINABALU: Keghairahan mereka yang kononnya adalah para pemimpin politik untuk mengebas ahli daripada parti politik yang sehaluan wajib dibendung kerana ia boleh menyebabkan Kerajaan tidak stabil.

“Kita dalam bahtera yang sama; mengapa perlu kebas kru daripada bilik sebelah? Bukankah adalah lebih baik kita bekerjasama dan saling memperkukuhkan antara sesama?” ujar Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“YAB Ketua Menteri pun sudah berkali-kali mengingatkan supaya kita bersatu padu dan saling menghormati, sekali gus menyumbang kepada keteguhan politik dan Kerajaan Sabah,” tambah beliau lagi.

“Saya sendiri sangat tidak setuju kita mengebas ahli, apa tah lagi pemimpin daripada parti politik yang sehaluan dengan kita hanya kerana kita mahu parti kita kuat. Lainlah kalau ada yang mahu tinggalkan parti mereka dan menyertai kita,” katanya lagi.

Presiden UPKO itu berkata demikian kepada para wartawan sejurus selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UPKO di sini pada petang Isnin.

“Saya memberikan penekanan ini dalam mesyuarat kami tadi kerana terlalu banyak rungutan terutama di akar umbi dalam hal ini. Ada yang dijanjikan dengan bulan dan bintang dengan syarat mereka ikut parti lain.

“Sudah hampir setahun Kerajaan Sabah terbentuk hasil kerjasama Warisan, UPKO, PKR dan DAP. Sangat sedih seandainya kita masih asyik kebas mengebas ahli dan pemimpin daripada sesama parti Kerajaan campuran ini kerana sesungguhnya tugasan dibahu setiap kita selaku sebahagian daripada jentera Kerajaan adalah sangat-sangat berat. Mari kerja keras buat kerja; bukan menyibuk menidakkan parti kawan,” tambah beliau.

Antara yang hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Senator Datuk Donald Mojuntin, Naib Presiden Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Agung Nelson Angang dan mantan Senator Datuk Dr Lucas Umbul.

Sementara itu, Tangau merakamkan penghargaan kepada Lucas yang sudah habis tempoh sebagai Ahli Dewan Negara baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis ringkas makan malam selepas mesyuarat itu ialah Presiden Kehormat Tan Sri Bernard Dompok dan Ahli Majlis Penasihat.

UPKO kini diwakili di Dewan Rakyat oleh Donald. – BorneoToday

118