Calon DAP, Vivian Wong mahu tunaikan janji mendiang bapa


Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan, Vivian Wong Shir Yee (tengah) bertemu dengan oarang ramai semasa berkempen, di Bandar Prima. – Foto Khairull Azry Bidin

SANDAKAN: Calon DAP bagi Pilihan Paya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mahu menunaikan janji yang tidak sempat diselesaikan oleh mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt kepada rakyat di kawasan Parlimen itu.

Menurut, Wong, 30, beliau berpegang kepada prinsip mendiang bapanya yang meninggal dunia akibat sakit jantung iaitu harus menyelesaikan apa yang sudah dimulakan.

“Sebagai anak yang mengikut perjuangan politik dan bekerja di bawah bapa saya ketika mendiang sebagai wakil rakyat dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, saya mahu menyelesaikan janji kepada rakyat yang belum ditunaikan oleh bapa saya,” katanya pada ceramah umum di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra di sini, malam tadi.

Wong, anak bongsu daripada empat adik-beradik berkata semangat dan keyakinan bapanya itu menjadi pendorong penting kepadanya dalam perjuangan politik terutama membantu golongan yang memerlukan perhatian.

Katanya beliau sudah bersedia dan nekad meneruskan perjuangan mendiang bapanya dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya sedar setiap hari rakyat perlukan kami dan sebab itu konsep sentiasa turun padang yang menjadi pendekatan penting mendiang bapa saya akan saya teruskan terutama jika menerima aduan daripada rakyat,” katanya.

Seperti mendiang bapanya, Wong yang mula bergiat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP mahu menumpukan kepada aspek pembangunan yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Katanya, sebab itu beliau menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan meneruskan projek naik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan tepat pada masanya.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (dua dari kanan) bersama Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan, Vivian Wong Shir Yee (kanan) bertemu peniaga semasa berkempen, di Pasar Umum Sandakan. – Foto Khairull Azry Bidin

Menurutnya ia akan meningkatkan jumlah pesawat mendarat di lapangan terbang itu dan seterusnya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke daerah ini.

“Jika industri pelancongan di daerah ini meningkat, sudah tentu akan meningkatkan peluang pekerjaan kepada pencari kerja khususnya golongan muda dan tidak perlu mencari kerja di tempat lain.

“Saya menyedari kekurangan peluang pekerjaan di daerah ini kerana selepas pengajian di Australia, saya juga bekerja di Kuala Lumpur disebabkan kurangnya peluang dan bidang yang sesuai di sini,” kata Wong yang berkelulusan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia.

Pada PRK Sandakan ini, Wong ditentang empat calon iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas, iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Hari pengundian awal PRK Sandakan diadakan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara. – BERNAMA

239