PRK Sandakan: Walaupun Muda Vivian Berwibawa Mewakili Rakyat

Lim Guan Eng memperkenalkan Vivian kepada rakyat sempena kempen PRK Sandakan.

OSANDAKAN: Parti pembangkang mula memainkan isu umur kononnya calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan terlalu muda untuk menjadi wakil rakyat.

Persoalannya adakah calon muda yang berkaliber itu tidak sesuai berbanding pemimpin veteran yang tewas dalam pilihan raya umum lalu dan telah terbukti partinya gagal membawa kemajuan kepada rakyat Sabah atau Sandakan khususnya?

Vivian, 30, sebenarnya bukanlah budak mentah jika dilihat kepada kerjaya politik dan pengalamannya kerana gadis manis ini telah menyertai politik sejak tahun 2012 apabila bapanya, mendiang Datuk Stephen Wong memulakan langkah untuk bertanding dalam pilihan raya.

Sejak berumur 22 tahun lagi, beliau menjadi tulang belakang kepada kerjaya politik bapanya, walaupun hanya menjadi ahli biasa DAP.

Sepak terajang politik Sandakan, keluh kesah rakyat yang memerlukan perubahan selepas kegagalan Barisan Nasional (BN) membawa kemajuan telah mematangkang anak jati Sandakan ini tentang perlunya beliau mengambil peranan membantu menyelesaikan masalah akar umbi.

Kehadiran Vivian yang ditemani Lim Guan Eng menarik minat orang ramai untuk mengambil swafoto bersama mereka.

Atas rasa tanggungjawab itulah beliau sentiasa hadir menemani mendiang bapanya sama ada dalam program politik atau setiap kali tokoh tersebut turun padang berjumpa rakyat.

Sehinggalah mendiang dilantik menjadi Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah selepas pilihan raya umum 2018, Vivian sentiasa berada di belakang mendiang kerana ruang telah terbuka untuk beliau bersama bapanya menyelesaikan masalah rakyat selepas menjadi kerajaan pemerintah.

“Saya tidak berasa marah atau terasa hati (bila dikatakan terlalu muda) saya akan buat apa kemampuan saya untuk membuktikan kepada mereka bahwa umur 30 tahun mampu bercakap di Parlimen dan bersuara untuk rakyat.

“Fokus saya ialah mahu membuktikan kerja saya lebih memberi gambaran daripada kata-kata, saya tidak mahu ada isu dengan pembangkang cuma mahu membuktikan saya mampu bekerja lebih keras daripada hanya bercakap,” kata Vivian ketika ditanya tentang dakwaan pembangkang beliau terlalu muda.

Vivian bertekad meneruskan perjuangan bapanya membantu rakyat berbilang kaum di Sandakan.

PENDIDIKAN

Memilih pemimpin biarlah seorang yang berpendidikan dan berpengetahuan luas, justeru jika pendidikan menjadi sandaran Vivian amat menepatinya.

Selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Sung Siew pada 2006, Vivian kemudiannya mengambil jurusan Diploma Komunikasi Media dari Kolej Inti.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Perhubungan Awam di Universiti Murdoch, Australia sebelum mengambil diploma keduanya dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di Universiti Malaya tahun lalu.

AKTIVIS KEMANUSIAAN

Sebagai anak muda yang meminati kerja-kerja sosial, Vivian turut melibatkan diri dalam beberapa misi ke luar negara antaranya penghantaran bantuan perubatan kepada rakyat Kemboja dan Indonesia yang memerlukan bermula tahun 2013 hingga 2015.

Di dalam negara pula, Vivian terlibat dalam beberapa program membina rumah Orang Asli di Semenyih, Selangor dan Gua Musang Kelantan serta turut terlibat dalam projek sama di Johor.

Pemilihan Vivian sebagai calon DAP amat disenangi rakyat.

KERJAYA

Daripada segi kerjaya pula, beliau memulakan karier sebagai perunding kewangan di beberapa institusi perbankan di Kuala Lumpur antara 2013 hingga 2015.

Selepas itu, beliau menjadi tenaga pengajar di International Korean School of Malaysia di Cyberjaya bermula 2015 hingga 2018 sebelum membantu bapanya secara langsung sebagai Pegawai Khas Kepada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Sehubungan itu, Vivian memiliki segala ramuan untuk menjadi wakil rakyat yang berwibawa, ditambah pula dengan tunjuk ajar daripada kepimpinan negeri diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, rakyat Sandakan bakal memiliki wakil rakyat yang serba boleh.

“Saya akan teruskan kerja bapa saya cuma kali ini saya akan menambah idea-idea baharu selaras dengan keperluan orang muda sekarang.

Pemimpin muda pasti memberi semangat kepada golongan muda untuk membawa suara mereka ke Dewan Rakyat.

“Sudah tentu idea-idea baharu ini akan saya bawa kepada kerajaan dalam usaha membangunkan Sandakan dan mewujudkan peluang pekerjaan di sini dalam pelbagai sektor terutama pelancongan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *