Silap buang air, lelaki dihumban gajah

Gambar Hiasan

PURULIA (INDIA): Seorang petani tergamam apabila dia secara tiba-tiba dihumban gajah sejauh 50 meter selepas membuang air besar dalam kejadian di daerah Purulia, Bengal Barat, India.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam berlaku apabila gajah terbabit dikatakan melilit badannya dengan belalai sebelum mencampak lelaki terbabit, Niranjan Sahish 55, dan terus menghilangkan diri ke dalam hutan, lapor Times Now News.

Dia yang terbaring dengan kecederaan pada kaki dan badan, ditemui oleh kakitangan jabatan perhutanan sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Niranjan berkata, dia sebelum itu terdengar bunyi kehadiran sekawan gajah menuju ke arahnya namun kejadian berlaku begitu pantas.

Menurutnya, dia tidak menyangka nasib menyebelahi dirinya apabila terselamat dalam kejadian itu.

Jurucakap pentadbiran daerah, Subinoy Panda berkata, pihaknya sudah memberi amaran beberapa kali kepada penduduk kampung supaya tidak menghampiri kawasan hutan terbabit kerana ia adalah laluan gajah. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *