RON97 naik, RON95 dan diesel kekal

Harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter iaitu daripada RM2.80 seliter kepada RM2.81 seliter manakala, RON95 dan diesel kekal masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, harga runcit produk itu bagi tempoh 27 April hingga 3 Mei ini berdasarkan penetapan harga runcit petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 27 April hingga 3 Mei masing-masing sepatutnya naik satu sen seliter iaitu daripada RM2.50 seliter kepada RM2.51 seliter dan naik dua sen seliter iaitu daripada RM2.46 seliter kepada RM2.48 seliter.

“Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 27 April hingga 3 Mei berjumlah RM133.62 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *