Rakyat Di Sabah Diminta Sokong PH Agar Status Asal Dalam MA63 Dikembalikan

SANDAKAN – Sokongan rakyat di Sabah terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) penting agar status asal Sabah sebagai salah satu daripada tiga entiti (bersama Sarawak dan Semenanjung) dalam penubuhan Malaysia dikembalikan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya kerajaan telah membuktikan kesungguhan untuk menunaikan janji kepada rakyat iaitu membentangkan usul meminda Artikel 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, namun digagalkan oleh pembangkang, khususnya dari Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendengar penerangan Lim Guan Eng (kiri). Gambar Bernama

“Sebab itulah kami (kerajaan) meminta rakyat untuk tidak menyokong pembangkang yang membelakangkan usaha untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Townhall Bersama Rakyat’ di sini hari ini.

Lim, yang juga Menteri Kewangan, turut mengulas dakwaan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, yang mengatakan dua daripada 49 projek pembangunan di Sandakan yang diumumkan oleh kerajaan PH telah diluluskan ketika Barisan Nasional memerintah, membuktikan pembangkang hilang modal politik.

“Apa yang penting sekarang ialah kerajaan PH mahu memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan secepat mungkin,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *