PRK Sandakan, sejarah baharu pilihan raya Sabah

SANDAKAN: Selepas tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Semenanjung sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lalu, satu lagi PRK diadakan, kali ini di Parlimen Sandakan.

Parlimen Sandakan adalah kerusi kawasan bandar yang merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Elopura dan Tanjung Papat, ketiga-tiganya diwakili Pakatan Harapan (PH) daripada DAP.

PRK pertama di Sabah selepas PRU-14 itu menyaksikan PH menggalas tugas mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan yang disandang DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ia menjadi pilihan raya pertama di bawah kepimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN)-PH dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) selepas pakatan itu membentuk kerajaan negeri pada Mei tahun lalu.

Ia juga pilihan raya pertama di Sabah yang menyaksikan tiada calon Barisan Nasional (BN) bertanding berikutan pengumuman pemangku pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini, mengenai keputusan untuk tidak meletakkan calon.

Calon daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) secara tradisi menggalas tugas BN di kerusi berkenaan, namun parti itu bersama semua parti tempatan Sabah sudah meninggalkan gabungan berkenaan selepas PRU-14.

LDP sebelum ini ada menyatakan mahu meletakkan calon kerana menganggap Sandakan kerusi tradisinya dan jika ada wakilnya pada penamaan calon hari ini, parti itu juga mencipta sejarah kali pertama menggunakan lambang sendiri.

BN Sabah kini hanya diwakili UMNO dan MCA, kedua-duanya akur dengan keputusan kepimpinan BN untuk tidak meletak calon, namun menyatakan sokongan kepada calon pembangkang lain termasuk daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

PBS yang juga keluar BN selepas PRU-14 Mei tahun lalu mengesahkan meletak calon dan mengumumkan bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin menggalas cabaran parti itu menentang DAP.

Buat kali pertama juga parti pelbagai kaum itu akan menggunakan lambang dan bendera sendiri selepas kali terakhir berbuat demikian ketika PRK Likas pada tahun 2001 sebelum menyertai BN setahun selepas itu.

Itu antara sejarah baharu dicatat pada PRK Parlimen Sandakan sejajar perubahan politik dan tampuk pentadbiran negeri selepas PRU-14.

Selain saingan parti pembangkang, tiga individu yang awal-awal lagi menyatakan bertanding calon Bebas, iaitu seorang peniaga, Chia Siew Yung; bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat dan bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah.

Keputusan rasmi mengenai siapa lawan DAP bakal diketahui selepas proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan, di sini, esok, selesai.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kekosongan kerusi itu akibat kematian penyandangnya yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang diserang sakit jantung pada 28 Mac lalu.

Kerusi itu dipertahankan Tien Fatt atas tiket DAP buat penggal kedua pada PRU-14 selepas merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila mengalahkan Presiden LDP ketika itu, Datuk Liew Vui Keong.

Pada PRU-14, Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP Sabah menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh lawannya daripada BN yang diwakili calon LDP, Datuk Lim Ming Hoo.

Berdasarkan kedudukan itu, DAP kekal diberi mandat untuk meletakkan calon pada PRK Parlimen Sandakan dengan anak mendiang Tien Fatt, Vivian Wong Shir Yee, 30 dinamakan sebagai calon yang akan menggalas tugas mempertahankan kerusi berkenaan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *