Maut ketika buat pusingan U

PASUKAN keselamatan membantu mangsa yang terperangkap dalam kereta selepas terbabit kemalangan. FOTO Junaidi Ladjana

LELAKI maut apabila kereta dipandu dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika membuat pusingan U di Jalan Tuaran Bypsss di Kota Kinabalu, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, Abdul Razak Ahmad, 48, yang memandu kereta Perodua Kelisa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Likas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa membuat pusingan U dan hendak masuk ke simpang City Futsal Centre.

“Kenderaan Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 51 tahun yang berada di jalan lurus dari arah Taman Putera Perdana menuju ke Bukit Padang tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kereta hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Yusoff, mayat mangsa yang dikeluarkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Pemandu kenderaan Toyota Hilux hanya cedera ringan di tangan dan kaki.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *