Arab Saudi pancung 37 pesalah dalam sehari

Gambar Hiasan

DUBAI/GENEVA: Arab Saudi melaksanakan hukuman pancung besar-besaran semalam, membabit 37 orang yang didakwa terbabit dalam kegiatan berkaitan pengganas, lapor agensi berita rasmi negara itu, Saudi Press Agency (SPA).

Dalam kenyataan yang disiarkan SPA, hukuman mati itu dilaksanakan terhadap mereka yang cuba ‘menjejaskan keselamatan’ dan ‘menyebabkan huru-hara’.

“Hukuman mati itu dilaksanakan terhadap sejumlah penjenayah yang mengamalkan ideologi pelampau pengganas dan menubuhkan kumpulan pengganas bagi menjejaskan keselamatan selain menyebabkan huru-hara,” lapor new.com.au yang memetik kenyataan kenyataan SPA.

Kenyataan itu bagaimanapun, tidak memberi penjelasan lanjut kesalahan pesalah terbabit.

Ia menjadi pelaksanaan hukuman bunuh terbesar dalam masa sehari di Arab Saudi sejak Januari 2016 apabila 47 orang dipancung.

Menurut SPA, sebahagian pesalah itu terbabit dalam serangan bom terhadap ibu pejabat pihak keselamatan, menyebabkan kematian anggota keselamatan dan bekerjasama dengan ‘pertubuhan musuh’.

Al Jazeera melaporkan, hukuman mati itu dilaksanakan di Riyadh, Makkah, Madinah, wilayah Qassim dan Wilayah Timur dengan dua mayat pesalah digantung pada tiang sebagai amaran kepada orang lain.

Amnesty International menyatakan 14 daripada pesalah terbabit menyertai bantahan anti-kerajaan di Wilayah Timur pada 2011-2012.

Sementara itu, Reuters melaporkan, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), Michelle Bachelet, yang mengecam pelaksanaan hukuman mati itu berkata, sebahagian besar mereka adalah minoriti Shiah yang mungkin tidak dibicarakan secara adil.

“Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka bawah umur ketika hukuman dijatuhkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Geneva. – Agensi

134