Azis Jamman patah kaki semasa konvoi

TUARAN: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengalami patah kaki kiri selepas terbabit kemalangan motosikal berkuasa tinggi di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Kelawat, Tamparuli, di sini pagi Rabu.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkonvoi dengan menunggang motosikal secara berasingan untuk merasmikan program Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah di Pasar Tamu, Ranau.

Menurut sumber, konvoi bermula dari Dataran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sekumpulan ahli Persatuan Motosikal Berkuasa Tinggi Sabah (SBBA). Katanya, kemalangan berlaku apabila tiba di selekoh menuruni bukit berhampiran Kampung Kelawat, Tamparuli.

“Azis mengalami patah kaki bahagian kiri namun dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di wad kecemasan hospital Tuaran. 

“Terdahulu, mangsa dihantar ambulans yang mengiringi konvoi ke hospital Tuaran dan akan dihantar ke Hospital Gleneagles Kota Kinabalu atas permintaan beliau,” kata sumber itu.

Bernama melaporkan, Azis baru sahaja memperoleh lesen B (melebihi 500cc) dan menggunakan motosikal dipinjam daripada rakannya.

Terdahulu selepas pelancaran jelajah itu, Azis berkata pembabitan golongan kanak-kanak yang dieksploitasi oleh pihak tidak  bertanggungjawab dalam aktiviti pengedaran dadah perlu dikekang agar tidak berleluasa.

Menurut beliau isu itu antara yang dibincangkan di peringkat kementerian bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mencari mekanisme mengatasinya agar kanak-kanak tidak dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi mereka. 

“Apabila kita semakin bijak, penjenayah jadi lebih bijak, mungkin sebab mereka melihat ada lubang dari segi undang-undang yang ada.

“Sebab itu pengedar dadah gunakan kanak-kanak sebab mereka tahu apabila kanak-kanak yang mengedar dadah jika ditangkap akan diletak di pusat pemulihan sebab masih di bawah umur,” katanya.

Beliau berkata menerusi operasi polis disertainya dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan tinjauannya sendiri di kawasan Sepanggar, beliau melihat sendiri golongan kanak-kanak serta remaja bawah umur dieksploitasi sebagai pengedar dadah.“

“Kebanyakan mereka ini tiada dokumen pengenalan diri dan ini agak merisaukan kita. Justeru, ini akan menjadi cabaran perlu kita hadapi kerana ia perlu dikekang daripada berleluasa,” katanya.

Konvoi itu dijalankan serentak dengan Promosi Regatta Lepa Jubli Perak 2019 yang berlangsung di Semporna pada 26 hingga 28 April ini.

Konvoi yang disertai 100 peserta menggunakan motosikal berkuasa tinggi itu membabitkan Persatuan Sabah Big Bikers, Polis Trafik dan AADK.itu dijadualkan singgah di Kundasang, Ranau, Telupid, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan menamatkan perjalanan di Semporna. – HarianEkspres

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *