PRK Parlimen Sandakan Vivian Wong diumumkan calon PH


Anak mendiang Datuk Stephen Wong, Vivian Wong Shir Yee (kanan) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan ibunya Datin Chong Mee Fook pada pengumuman calon DAP untuk PRK Sandakan.

SANDAKAN: Anak bongsu kepada mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, Vivian Wong, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, sebentar tadi.

Pengumuman khas itu dilakukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selepas sesi bersama rakyat di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini.

Yang turut hadir, veteran DAP, Lim Kit Siang, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Vivian, 30, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam daripada Murdoch University, Australia, adalah pegawai khas kepada mendiang bapanya di Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Beliau turut terbabit dalam kempen politik mendiang bapanya yang memenangi kerusi Parlimen Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – Berita Harian

151