Duterte isytihar perang


DUTERTE. FOTO Agensi

Porac, Manila: Presiden Rodrigo Duterte bukan saja mengancam untuk belayar ke Kanada bagi menghantar kembali sampah dari negara itu yang dihantar secara haram ke Filipina, malah mengisytiharkan perang dengan Ottawa.

“Saya beri amaran kepada Kanada, minggu depan mereka perlu bawa keluar sampah atau saya akan belayar ke Kanada dan melambakkan sampah mereka di sana.

“Mari kita perangi Kanada. Saya mengisytiharkan perang terhadap mereka,” katanya di sini, kelmarin, dalam lawatannya ke utara Manila yang dilanda gempa bumi Isnin lalu.

Menurut Duterte, beliau tidak peduli jika pendiriannya berkaitan isu itu menjadikan kedua-dua negara sebagai musuh.

Filipina menggesa Kanada mengambil balik sejumlah besar kontena sampah yang dihantar ke negara itu pada 2013 dan 2014 mendakwa ia mengandungi sisa toksik.

Namun Ottawa menyatakan ia tiada kuasa untuk memaksa syarikat persendirian memulangkan semula penghantaran terbabit ke Kanada.

Sampah antara beberapa isu menjejaskan hubungan dua negara itu selepas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menjadi pengkritik paling lantang terhadap perang dadah domestik yang dilancarkan Duterte.

Polis Filipina dilaporkan membunuh hampir 5,000 orang yang didakwa penagih dan pengedar dadah dalm operasi perang dadah Duterte.

Tahun lalu, Duterte dengan berang membatalkan kontrak tentera bernilai AS$235 juta (RM971.13 juta) bagi pembelian 16 helikopter daripada pengeluar berpusat di Kanada selepas kerajaan Trudeau meletakkan perjanjian itu dalam semakan kerana rekod hak asasi Presiden itu. – Agensi

101