KOTA KINABALU: Kem latihan skuad Piala Presiden Sabah, di sini, hari ini, cemas apabila ketua jurulatih mereka, Justin Ganai, jatuh pengsan selepas bertembung dengan seorang pemain.
Pengurus pasukan, Ebby Roy, berkata jurulatih berusia 63 tahun itu pengsan kira-kira jam 5.30 petang ketika sesi latihan untuk persediaan bagi menghadapi perlawanan bertemu PJ City FC di Stadium Likas, petang esok.
“Saya difahamkan kejadian berlaku ketika pasukan sedang mengadakan latihan bertahan di mana ketika itu salah seorang pemain bertembung dengan Justin sehingga menyebabkan dia rebah dan tidak sedar diri.
“Selepas itu, pegawai pasukan termasuk fisioterapi segera memeriksa keadaan Justin seterusnya pihak ambulans datang dan membawanya untuk rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth II (QEH II),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden Sabah, Justin Ganai, pengsan selepas bertembung dengan pemain ketika sesi latihan sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Ebby berkata, ketika menerima rawatan di hospital, Justin sudah sedar namun beliau terpaksa ditahan dalam wad kerana pihak hospital mahu menjalankan rawatan lanjut termasuk bagi memastikan sekiranya ada darah beku di dalam kepalanya berikutan kejadian itu.
“Setakat ini saya difahamkan keadaan jurulatih Justin stabil namun kami masih menunggu laporan seterusnya daripada doktor.
“Saya berharap semuanya baik-baik saja dan semoga Justin akan kembali sihat seterusnya kembali mengendalikan pasukan seperti biasa,” katanya. – Berita Harian