Ahli PKR Sabah mahu pentadbiran parti dirombak

BEKAS Ketua Cabang PKR Tenom yang juga ahli parti itu, Adris Taripin. – Foto Edmund Samunting.

KOTA KINABALU: Ahli PKR Sabah di peringkat akar umbi menggesa pentadbiran dan kepemimpinan parti di negeri ini dirombak bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Bekas Ketua Cabang PKR Tenom yang juga ahli parti itu, Adris Taripin, berkata gesaan itu dibuat kerana majoriti ahli parti tidak berpuashati dengan kepemimpinan PKR di Sabah sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu beliau meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan, sekali gus mengubah cara pentadbiran kepada yang lebih baik dan mantap.

“Ahli PKR Sabah di peringkat akar umbi tidak puas hati dengan cara kepemimpinan pengerusi PKR sejak PRU-14 lagi apabila kerusi PKR diserahkan kepada WARISAN (Parti Warisan Sabah) dan DAP.

“Selain itu, kita juga tidak mendapat hak yang sepatutnya apabila kebanyakan lantikan dalam jawatan politik dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lebih banyak kepada parti lain.

“Sebab itu sebagai ahli di peringkat akar umbi atau kira-kira 70 peratus daripada 150,000 ahli di Sabah tidak puas hati dengan kepemimpinan PKR dan berharap presiden akan mengambil perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ‘Kami Sayang PKR Sabah” di sini hari.

Adris berkata rasa tidak puas hati ahli akar umbi sudah disuarakan kepada pihak atasan parti.

“Kami ada juga tulis surat kepada presiden untuk menyuarakan rasa tidak puas hati tetapi presiden menyatakan perjumpaan akan diadakan selepas PRK (Pilihan Raya Kecil) Rantau.

“Justeru kami berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin kerana hanya presiden yang boleh menyelesaikan masalah ini.

“PKR Sabah perlu diatur dan dirombak bagi mengelak ahli parti berpindah ke parti lain seperti WARISAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),” katanya yang turut disertai sembilan ahli parti berkenaan.

Beliau percaya jika tiada penyelesaian atau rombakan dibuat, lebih 70 peratus ahli akan menyertai parti lain termasuk parti tempatan selain BERSATU.

“Kepemimpinan PKR Sabah terutama pengerusi parti langsung tidak mempertahankan ahli termasuk yang sudah berjuang lebih 20 tahun (dalam parti) daripada sebelum menjadi kerajaan sehinggalah menjadi kerajaan,” katanya. – Berita Harian

85