Sebanyak 10,323 PTI Didaftar Dalam Program Pemutihan

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Pemutihan melibatkan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pertanian di Sabah sejak 1 April menyaksikan 10,323 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah didaftarkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sehingga 16 April, jumlah PATI yang didaftarkan dalam sektor perladangan melalui Program Pemutihan itu adalah seramai 10,195 orang manakala, 128 orang dalam sektor pertanian.

Program pemutihan dalam kedua-dua sektor termasuk sub-sektor pertanian itu akan dilaksana bermula April hingga 30 September ini.

Sebelum ini, Mohd Shafie dipetik berkata, langkah melaksana Program Pemutihan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan buruh yang berlaku dalam sektor perladangan dan pertanian.

Melalui pemutihan itu, satu dokumen khas kepada pekerja asing akan dikeluarkan. Dokumen yang tidak bersifat kekal itu diberikan dengan syarat tertentu yang perlu dipenuhi dan dipatuhi pekerja asing.

Kemudian menjawab persoalan berkaitan kerajaan memberi dokumen kewarganegaraan kepada PATI seperti dipersoalkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Mohd Shafie sekali lagi menegaskan Kerajaan Sabah tidak terlibat dalam memberikan dokumen kewarganegaraan kepada PATI.

Sebaliknya, kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya memastikan PATI yang ditahan, diusir pulang ke negara asal mereka secara berterusan.

“Saya juga ingin membuat penegasan di sini bahawa cadangan untuk menghalang PATI daripada memasuki negeri ini dengan cara menempatkan mereka di pulau yang ditetapkan, hanyalah bersifat sementara (transit). Usaha ini bagi mengelakkan kemungkinan elemen-elemen negatif daripada memasuki negeri ini,” katanya ketika ucapan penggulungan sempena Mesyuarat pertama penggal kedua, Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Menyentuh soal cadangan menubuhkan Jawatankuasa Khas mengatasi kebanjiran PATI, Adun Senallang ini berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatankuasa yang sama peranannya seperti Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) yang telah ditubuhkan selaras dengan cadangan dalam Laporan Siasatan Diraja mengenai Pendatang Asing di Sabah.

Berkenaan isu Malaysia terutama Pantai Timur Sabah yang tersenarai dalam negara ‘K’ Amerika Syarikat, Kerajaan Negeri membantah sekerasnya tindakan menyenaraikan Malaysia sebagai negara mempunyai risiko penculikan dan dijadikan tebusan serta menegaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh US Advisory itu tidak menunjukkan realiti sebenar

“Kerajaan berharap US Advisory dapat membuat semakan semula terhadap perkara ini dengan mendapatkan gambaran yang lebih jelas terhadap situasi keselamatan semasa di Sabah terutama di Pantai Timur Sabah,” jelasnya.

Menyentuh soal dakwaan Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai bahawa terdapat 200,000 PATI dari Sabah tidak diterima di negara asal mereka adalah tidak tepat. Tidak ada mana-mana agensi kerajaan yang menyimpan data sedemikian. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *