RON97 naik, RON95 dan diesel kekal

HARGA runcit petrol RON97 naik 12 sen kepada RM2.80 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan memaklumkan, harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 20 hingga 26 April ini.

Katanya, kenaikan itu berikutan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia menunjukkan trend peningkatan sehingga melebihi paras AS$80 setong.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 20 hingga 26 April 2019 masing-masing sepatutnya naik 12 sen seliter iaitu daripada RM2.38 kepada RM2.50 seliter dan naik tujuh sen seliter daripada RM2.39 kepada RM2.46 seliter berikutan kenaikan harga purata minyak Dated Brent kepada AS$70.98 setong bagi tempoh 11 ke 17 April 2019.

“Bagaimanapun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan dikekalkan pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Pada minggu lalu, harga runcit petrol RON97 naik lima sen kepada RM2.68 sen seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.08 dan RM2.18 seliter. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *