JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo hari ini mengisytiharkan kemenangannya dalam pilihan raya presiden republik itu, sekali gus mengekalkan jawatan disandang untuk tempoh lima tahun lagi.
Beliau berkata, keputusan tidak rasmi menunjukkan tiket gandingannya dengan ulama terkenal Ma’ruf Amin memperoleh 54 peratus undian popular dalam pilihan raya semalam.
Jokowi yang berganding dengan Ma’ruf menentang bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno yang memperoleh 45 peratus undi, menurut ‘kiraan pantas’ tidak rasmi sampel undian oleh peninjau persendirian.
“Kita perlu menunggu keputusan rasmi namun 12 peninjau memberi keputusan jelas. Kami menyampaikan bahawa tiket gandingan Jokowi-Ma’ruf memperoleh 54.5 peratus undi sementara Prabowo memperoleh 45.5 peratus,” kata Jokowi dalam sidang media di selatan ibu kota ini.
Prabowo juga mendakwa memperoleh kejayaan mengatasi Jokowi, memetik tinjauan dalaman menunjukkan beliau menang 62 peratus undi.
Laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) meletakkan Prabowo dengan 45 peratus undi hari ini berdasarkan keputusan daripada 808 atau lebih 800,000 stesen pengundian. -Reuters