Terjun selepas jerit nama Jokowi

ARDI Bakrie merakam kejadian seorang lelaki berdiri di atas sebuah cerobong.

JAKARTA: Seorang lelaki nekad terjun dari cerobong asap setinggi 30 meter selepas beberapa kali jerit nama presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo dalam kejadian di Pulogadung, di sini, semalam.

Menurut portal TribunJakarta.com, lelaki itu memanjat cerobong sebuah bangunan di sebelah pejabat TV One kira-kira jam 4 petang.

Jurucakap bomba, Gatot Sulaeman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang lelaki memanjat sebuah cerobong pada jam 4.15 petang.

“Anggota bertugas mendapati lelaki terbabit memegang sekeping kertas dan turut menjerit nama Jokowi.

“Dia seolah mahu menuntut sesuatu dari Jokowi, namun kami belum menerima maklumat mengenai tulisan di kertas itu,” katanya.

Gatot mempercayai lelaki itu mengalami tekanan dan bomba sudah menyediakan trampolin sekiranya dia melompat.

TribunJakarta.com melaporkan, lelaki terbabit nekad terjun dan meninggal dunia di hospital sekitar jam 9 malam.

Kejadian itu turut dirakamkan suami pelakon Nia Ramadhani, Ardi Bakrie ketika berada di pejabat TV One.

Ardi memberitahu portal itu lelaki berkenaan asyik menjerit nama Jokowi dan dilihat membawa sekeping kertas. – Agensi

162