Bekas Pembantu Menteri Antara Lima Ditahan Pasukan Keselamatan Di Semporna

ATB 2 menahan lima lelaki bersenjata ketika menyusup masuk ke kawasan perairan Malaysia. FOTO Ihsan ATB2

SEMPORNA: Bekas Pembantu Menteri Sabah dipercayai antara lima yang ditahan pasukan keselamatan, Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di sempadan Malaysia-Filipina berhampiran Pulau Mataking Semporna, di sini pada Khamis.

Komander ATB 2 Bridgedier Jeneral Datuk Zarondin Md Amin berkata, kesemua mereka ditahan ketika bot pelancong yang dinaiki cuba menyusup masuk ke kawasan perairan Pulau Mataking, Semporna.

Namun bot mereka berjaya dipintas pasukan keselamatan dan kesemua lelaki yang ditahan itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Semporna untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Peter Umbuas ketika dihubungi bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung penahanan lima lelaki itu menyatakan tiada sebarang penahanan dilakukan.

Katanya, tiada tangkapan dan rampasan yang dibuat. Polis hanya menerima laporan untuk pemeriksaan sahaja.

Menurutnya, pemeriksaan itu turut dilakukan terhadap bekas Pembantu Menteri Sabah yang mempunyai sebidang tanah di pulau berkenaan dan pergi ke situ untuk memancing bersama empat rakannya.

”Beliau (bekas pembantu menteri) itu juga mempunyai lesen mengendalikan senjata api yang sah.

”Selepas mendapatkan kenyataan kesemua lelaki yang ditahan, pembantu menteri dan rakannya itu dibenarkan pulang ke rumah,” jelasnya.

Peter memaklumkan tiada sebarang kesalahan dilakukan dalam kes berkenaan.

Terdahulu dalam kenyataan Zarondin memaklumkan sekumpulan lima lelaki yang menaiki bot pelancong itu dipercayai datang dari kawasan perairan Sitangkai, Filipina ketika dikesan oleh radar pasukan keselamatan semasa cuba menyusup masuk ke kawasan perairan pulau berkenaan pada 9.45 pagi Khamis.

Susulan itu sepasukan anggota keselamatan Pasukan Aturgerak Cepat dari 8 RRD (PARA) yang diketuai Sarjan Salleh Zakaria digerakkan ke lokasi untuk memintas bot berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati salah seorang daripada lima lelaki itu memiliki dua senjata api yang merupakan sepucuk pistol dan selaras senapang. Turut ditemui adalah 18 butir peluru 9mm dan 33 butir peluru shortgun.

”Sebaik dipintas, kita mendapati lima lelaki berusia antara 28 hingga 45 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berada dalam bot itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Semua suspek ditahan dan senjata api dirampas dan diletakkan dalam kawalan rapi. Bot bersama barang yang ditahan dibawa ke Pulau Mataking sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan lanjut. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *