Sabah, Sarawak Disebut Borneo Dalam Pindaan Perlembagaan

MAHATHIR MOHAMMAD

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bacaan kali kedua yang dibuat Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat hari ini menyatakan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Perdana Menteri berkata, Tanah Melayu disebut sebagai sebahagian daripada Malaysia iaitu terdiri daripada semua negeri di Semenanjung.

Beliau berkata, pindaan tersebut adalah sama dengan asas pembentukan Malaysia dan selari dengan peruntukan asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa sebarang pengubah suaian.

Tegas beliau, Kerajaan Pakatan Harapan peka kepada desakan rakyat Sabah dan Sarawak dalam menuntut hak-hak mereka, justeru pindaan berkenaan dibuat bagi memenuhi aspirasi rakyat.

“Selaras dengan prinsip ini, Kerajaan Pakatan Harapan yang telah diberi mandat oleh rakyat di Malaysia amat peka dan prihatin terhadap suara dan kehendak rakyat Malaysia, terutamanya daripada Sabah dan Sarawak.

“Kehendak dan desakan rakyat di Negeri Sabah dan Sarawak telah diberi perhatian dan menjadi salah satu perkara utama yang diambil serius oleh pihak Pakatan Harapan, sejak sebelum Kerajaan Pakatan Harapan ini dibentuk setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 lagi.

“Berpandukan kepada kehendak ini, Pakatan Harapan telah mengemukakan janji untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan MA63 sebagaimana yang disebut di bawah Janji 40 dalam Teras ke-4 dalam Buku Harapan, Membina Negara Memenuhi Harapan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika membahaskan dan menyokong usul berkenaan berkata, pelaksanaan MA63 akan memberikan kembali hak-hak negeri Sabah terutama dalam soal ekonomi untuk membangunkan negeri.

RUU pindaan berkenaan turut dibahas oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, wakil dari Sarawak dan Ahli Parlimen lain.

Selepas perbahasan, undian akan dibuat sama ada RUU berkenaan diluluskan atau tidak yang dijangka dibuat selepas pukul 8 malam nanti. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *