Sarifuddin, Ma’mun gandingan peneraju Warisan Kalabakan

SARIFUDDIN, Ma’mun, Farizah dan Rina menerajui kepimpinan Warisan Bahagian Kalabakan.

TAWAU: Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai Sarifuddin Hata menang tanpa bertanding jawatan Ketua Warisan Bahagian Kalabakan.

Timbalan Ketua Bahagian dimenangi Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman dengan majoriti 93 undi untuk menewaskan pencabarnya, Saharun Abunawas.

Naib Ketua Bahagian pula Farizah Kamazeri, Ketua Wanita dimenangi Mardianah Menteng, Mohd Afsar Abd Latif (Ketua Wira) dan Rina Jainal (Ketua Wirawati).

Sarifuddin yang ditemui berharap semua 15, 000 ahli Warisan Kalabakan merapatkan saf sesama mereka dan memberi fokus hala tuju seterusnya membela hak-hak rakyat.

“Sememangnya menjadi Ketua Bahagian ini besar tanggungjawabnya dan kita kena jaga ahli sebab sekarang banyak dugaannya termasuk banyak parti yang masuk Sabah.

 “Tapi saya fikir rakyat sudah bijak bahawa perlunya kita bersatu dengan parti yang diinginkan untuk anak Sabah supaya kita lebih kuat menuntut hak Sabah,” katanya.

 Menurutnya, tanggungjawab kepimpinan parti dan kesemua kepimpinan baharu parti itu terus bersatu hati tanpa melupakan tujuan asal semenjak sebelum pilihan raya lagi.

 Beliau juga berharap kesemua ahli termasuk mereka yang tewas dalam pemilihan parti kembali bersatu hati kerana kalah dan menang menjadi adat pertandingan.

“Agenda kita selepas ini untuk mengadakan mesyuarat melaksanakan Jejak Kasih Warisan supaya mendekati akar umbi dan mengenalpasti permasalahan mereka.

“Sebelum ini kita sibuk menstruktur kerajaan, tapi sekarang kita harus kembali beramah mesra dengan ahli-ahli parti khususnya untuk Wira dan Wirawati,” katanya.

 Ma’mun yang ditemui pula mengakui tidak meletakkan harapan untuk menang, namun bersyukur dan berterima kasih dengan kepercayaan daripada perwakilan.

 Mengulas lanjut, beliau optimis melihat pertandingan itu sebagai pemangkin penyatuan silaturahim sesama kepimpinan dan ahli-ahli Warisan Kalabakan.

 “Sebagai Timbalan Ketua Bahagian, kita akan terus menyokong kepimpinan parti termasuklah Ketua Bahagian, dan optimis dengan kepimpinan yang ada,” katanya.

Untuk rekod, mesyuarat agung pemilihan dan tiga sayap Warisan Kalabakan di Dewan SJK (c) Yuk Chin di sini pada Sabtu, berjalan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan dan pergaduhan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *