Mangsa Mango Girl

GAMBAR wanita cantik yang digunakan dalam akaun palsu Mango Girl di aplikasi WeChat. FOTO guancha.cn

Beijing: ‘Mango Girl’ adalah wanita muda dan cantik yang menjadi guru sukarelawan di sebuah tadika di perkampungan terpencil di pulau Hainan.

Apabila pekerja kolar putih berusia 29 tahun di Shanghai menerima mesej untuk berkenalan daripada wanita itu di aplikasi WeChat pada Disember lalu, lelaki itu terus menerimanya.

Selepas beberapa hari berbual di aplikasi media sosial popular itu, lelaki itu terus jatuh cinta dengan wanita cantik dan baik hati berkenaan.

Bagaimanapun, menurut portal berita Thepaper.cn, Mango Girl bukan wanita cantik tetapi dia antara beberapa akaun palsu yang menggunakan gambar yang dicuri dan maklumat daripada novel cinta.

Polis memberitahu, sindiket di sebalik penipuan berkenaan menyamar sebagai wanita cantik untuk memerangkap lelaki menyerahkan wang kepada mereka.

Dalam tempoh tiga bulan kumpulan itu berjaya menipu beberapa lelaki membabitkan kerugian lebih 500,000 yuan (RM304,389).

Pekerja kolar putih yang terpedaya dengan godaan Mango Girl memberitahu polis dia memberi 13,000 yuan (RM7,914) kepada wanita itu sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya.

Apabila menyedari dia ditipu, lelaki itu membuat laporan polis. Susulan laporan berkenaan polis menyerbu sebuah premis pejabat di Changsha, Hunan pada bulan lalu.

PROFIL Mango Girl turut memuat naik gambar seorang wanita bersama kanak-kanak. FOTO guancha.cn

Dalam serbuan berkenaan, polis menahan 28 suspek yang kebanyakannya lelaki dipercayai terbabit membuat akaun palsu di WeChat untuk menggoda dan menipu lelaki.

Ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Yan turut ditahan.

Kata polis, kumpulan itu membuat berpuluh-puluh akaun WeChat palsu dan setiap satunya mempunyai beratus-ratus akaun lelaki atau sasaran mangsa mereka.

Polis percaya ramai lelaki yang menjadi mangsa penipuan teman wanita dalam talian berkenaan tetapi tidak membuat laporan polis kerana malu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *