AMANAH akan pecat ahli yang tanding sebagai calon Bebas

Pengerusi Amanah Sabah Haris Alimudin. Gambar SNT

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap ahlinya jika didapati bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei depan.

Pengerusinya, Haris Alimudin, berkata sesiapa yang mengingkari amaran itu akan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib dan dipecat daripada parti.

“AMANAH Sabah akan memastikan jika ada ahli parti yang menjadi calon Bebas atau parti lain, mereka akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib dan akan dipecat daripada menjadi ahli parti,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK berkenaan pada 27 April ini.

Haris menegaskan pendirian itu sejajar dengan komitmen AMANAH Sabah untuk menggerakkan seluruh jentera dan ahli parti itu di Sandakan bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP selaku penyandang kerusi berkenaan.

Katanya, AMANAH Sabah akan menumpukan kawasan Bumiputera dan memastikan undi mereka diberikan kepada calon PH.

“AMANAH Sabah menyatakan sokongan kepada calon PH daripada DAP yang akan bertanding pada PRK Parlimen Sandakan.

“Berdasarkan kepada konsensus dalam kalangan parti komponen PH, DAP diberikan mandat untuk terus mewakili Parlimen Sandakan.

“Ia juga sebagai satu penghormatan tertinggi kepada mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di Parlimen ini sepanjang perkhidmatannya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya DAP akan meletakkan calon yang berwibawa dan mampu menggalas tanggungjawab kepada rakyat sebagaimana diberikan mendiang Tien Fatt yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu. – Berita Harian

134